Peristiwa Sejarah di Bulan Ramadhan

Bulan Ramadhan disebut sebagai sayyidush shuhuur (سَيِّدُ الشُّهُورْ). Yang bermakna Penghulu segala bulan, Tuan segala bulan atau bulan yang paling mulia diantara 11 bulan yang lain. Kita sudah banyak mendengar dan membaca bahwa Ramadhan adalah bulan Ibadah, bulan amal Sholeh, bulan Rahmat serta keampunan. Dan sudah banyak dalil yang menceritakan semua itu.

 

Namun ada baiknya kita melihat juga sisi sejarah dari bulan yang Agung ini. Apakah peristiwa-peristiwa sejarah yang pernah berlaku dalam sejarah Islam pada bulan Ramadhan ini, khasnya pada masa kehidupan Baginda SAW? Dengan harapan kita dapat mengambil ‘Ibrah dan pelajaran serta hikmah di sebalik peristiwa sejarah tersebut.

 

Berikut ini adalah sebahagian kecil dari peristiwa Ramadhan yang dirakam oleh Zaman:

 

  1. Turunnya wahyu pertama kepada baginda SAW di Gua Hira, dan bermulalah kenabian dan Dakwah Islam. Ia berlaku pada hari isnin, di Bulan Ramadhan. Sebagaimana di sebutkan oleh Allah SWT: “Bulan Ramadhan yang diturunkan padanya Al Qur’an” (Al Baqarah, 185).
  2. Meninggalnya Abu Thalib (Pak Cik kepada Baginda SAW) dan wafatnya Ummul Mukminin Khadijah binti Khuwailid (Isteri Baginda SAW) pada Ramadhan tahun ke 10 Kenabian, iaitu 3 tahun sebelum Hijrah ke Madinah.
  3. Terjadinya peperangan Badar Al Kubra, iaitu pada 17 Ramadhan tahun ke 2 Hijrah. Dalam Perang itu terbunuhlah beberapa pimpinan Quraisy, diantaranya: Abu Jahal (Amr bin Hisyam), Umayyah bin Khalaf dan al ‘Ash bin Hisyam bin al Mughirah, dan berhala-berhala mereka (laata, Uzza dan Manaat) tidak mampu membela mereka sedikit pun.
  4. Dalam Ramadhan di tahun yang sama (tahun ke 2 Hijrah), meninggal pula putri baginda, iaitu Ruqoyyah binti Rasulullah SAW. Beliau adalah isteri kepada Sahabat Usman bin Affan r.a.
  5. Dalam Ramadhan tahun ke 5 Hijrah, Turunlah ayat yang menyatakan kesucian Ummul Mukminin Aisyah r.a, ke atas apa yang difitnahkan kepadanya. Peristiwa ini dalam sejarah Islam di kenal dengan istilah Hadithul Ifki (berita dusta) dan Al Qur’an merakamkan peristiwa itu dalam surah An Nuur, ayat 11-20.
  6. Peristiwa Fathu Makkah (Pembukaan Kota Makkah) terjadi pada bulan Ramadhan tahun ke 8 Hijrah. Ketika itu Nabi SAW dan para sahabat keluar daripada kota Madinah pada 10 Ramadhan dan sampai di Makkah pada 19 Ramadhan. Peristiwa Fathu Makkah inilah yang kemudian menjadi permulaan baru bagi kejayaan Dakwah Islam berikutnya di seluruh Jazirah Arab.

 

Demikian beberapa peristiwa penting yang berlaku pada bulan Ramadhan di masa awal Islam dan Kehidupan Baginda SAW. Ada banyak lagi peristiwa-peristiwa lain di sana yang tidak dapat dituliskan di sini. Semoga kita dapat lebih mendalami peristiwa-peristiwa tersebut melalui buku dan sumber rujukan lain, dan dapat mengambil i’tibar serta pelajaran darinya.

Wallahu A’lam.

Leave a comment