Niat Ramadhan

 

 

Menjelang Ramadhan yang semakin dekat ini, perlulah kiranya kita membuat segala persediaan secara lebih baik. Termasuklah perkara niat. Niat? Ya, Niat. Sabda Nabi SAW bahawa:

 

إِنَّمَا الأَعْمَالُ بالنِّيَّاتِ وإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ ما نَوَى

(رواه البخاري ومسلم)

 

“Setiap amalan kita amat bergantung kepada Niat. Dan setiap orang itu akan mendapat apa yang ia niatkan” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

 

Sekiranya seseorang dengan puasanya ingin menguruskan badan, maka ia akan dapatkannya. Sekiranya ia berpuasa kerana malu atau takut kepada orang di persekitarannya, maka ia hanya akan mendapatkan apa yang ia niatkan itu. Tetapi Allah SWT hanya akan menerima puasa dari seorang muslim dengan niat hanya kerana-Nya, taqarrub dan mendekat kepada-Nya dan berharap keredaan dan keselamatan dari-Nya.

Semakin banyak niat baik dalam suatu amalan, maka semakin banyak pula pahala yang akan ia perolehi. Seperti seseorang yang bersedekah kepada jirannya yang muslim dan sekaligus ia adalah keluarganya, maka ia akan mendapatkan 3 pahala: pahala sedekah, pahala memuliakan jiran dan pahala menyambung silaturahin dengan saudara/keluarga.

 

Oleh itu, apa sahaja sebaiknya yang kita niatkan menjelang kehadiran tetamu agung bulan Ramadhan ini?. Izinkan saya berkongsi sedikit tentang apa yang sebaiknya kita niatkan di bulan Ramadhan, agar pahala dan keberkatannya berlipat ganda:

 

  1. Niat Taqarrub (تقرّب = mendekat) kepada Allah SWT.

Kita niatkan dalam bulan Ramadhan yang akan datang ini untuk menambah taqarrub dan kedekatan kita kepada Allah SWT. Kita sedar bahawa dalam 11 bulan selain Ramadhan boleh jadi kita lalai, kita cuai, tak banyak ibadah yang kita buat. Mungkin itu kerana alasan kita sibuk kerja, tak ada masa lebih, tak ada motivasi atau sebab lain yang kita tak tahu. Maka Ramadhan inilah masanya kita untuk membayar kekurangan dan kecuaian kita. Kalau dalam Ramadhan saja kita malas dalam beribadah, maka dalam bulan-bulan lain pasti lagilah malas. Nauzhu billah.

 

  1. Niat beroleh pahala sebanyak-banyaknya.

Ramadhan adalah bulan dimana Allah SWT membuka luas rahmatnya, menggandakan semua pahala ibadah hamba-Nya dan menjanjikan pahala ibadah 1000 bulan tanpa henti bagi mereka yang bernasib baik mendapatkan Lailatul Qodar. Kerana itu, rancanglah aktiviti dan target ibadah kita selama Ramadhan. Mulai dari membaca Al Qur’an, bersedekah, solat Terawih,  Qiyamullail, I’tikaf dan yang lainnya.

 

  1. Niat untuk mensucikan jiwa.

Ramadhan ini boleh kita umpamakan seperti stesen minyak. Apabila kenderaan kita habis minyak, maka sempat tak sempat kita mesti pergi ke stesen tersebut. Kalau tidak maka kenderaan kita akan rosak dan mati. Begitulah dengan Ramadhan ini. Jiwa dan hati kita merupakan inti bagi kehidupan ini. Jika ia baik, maka baiklah kita. Namun jika ia rosak atau sakit, maka pasti akan rosaklah kehidupan kita. Hidupnya hati dan jiwa kita adalah dengan ibadah, amalan sholeh dan taqarrub kita kepada Allah SWT. Namun hanya sedikit sahaja manusia yang menyedari ini.

 

 

credit: islamfromthestart

 

  1. Niat untuk menghapuskan dosa.

Allah SWT berfirman:

إِنَّ الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ

 [هود:114]

“Sesungguhnya kebaikan itu akan menghapuskan keburukan”.(Surah Huud: 114)

 

Apa sahaja kebaikan kita maka ia akan membayar dan menghapuskan dosa serta kesalahan kita yang telah lalu. Soalannya adalah, siapa diantara kita yang tidak punya dosa dan kesalahan? Atau siapa diantara kita yang tak nak ampunan dan kemaafan dari Allah SWT?. Oleh sebab itu, patutlah apabila Baginda Nabi SAW bersabda: “ Sesiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan berharap pahala dari Allah SWT, maka akan diampunkan segala dosanya yang telah lalu”. (Muttafaq Alaihi)

 

  1. Niat untuk menghambakan diri kepada Allah SWT.

Kita adalah hamba Allah SWT, yang diciptakan memang untuk menghamba kepada-Nya dan tidak dapat keluar dari status sebagai hamba-Nya walau bagaimana pun jua. Allah SWT berfirman:

 

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالإنْسَ إِلا لِيَعْبُدُونِ

[الذاريات:56]

dan tidaklah aku ciptakan jin dan manusia kecuali untuk beribadah kepada-Ku”. (Adz Dzariat: 56)

 

Namun pada kenyataannya, rasa dan kesedaran penghambaan ini sering hilang dari alam ingatan dan hati kita. Sesekali kita cenderung untuk menghambakan diri kepada “duit”, atau menghambakan diri kepada Boss di office, menghambakan diri kepada populariti dan kekuatan (power) atau menghambakan diri kepada nafsu kita. Ramadhan inilah masanya kita kembali memurnikan penghambaan ini hanya kepada Allah SWT, iaitu dengan melakukan semua amalan-amalan wajib dan sunnah berasaskan IKHLAS kerana-Nya.

 

  1. Niat untuk membina jati diri.

Setiap kita yang berpuasa dibulan Ramadhan, pasti pernah merasakan bahawa dengan puasa kita menjadi lebih berdisiplin dan produktif. Disiplin masa, disiplin makan dan minum, disiplin menjaga anggota badan dari berbuat salah, disiplin menjaga lidah dari mengucapkan yang tak betul dan sebagainya. Begitu juga dari segi produktiviti kerja, badan terasa lebih ringan, lebih cergas dan lebih efektif. Ini kerana unsur dalaman kita (jiwa) sentiasa terjaga dan tubuh badan kita lebih ringan kerana perut dan alat penghadaman tidak lelah bekerja. Oleh itu, dalam Ramadhan kita niatkan sebagai masa untuk berlatih mengendalikan diri, mendisiplinkan masa dan meningkatkan produktiviti kerja.

 

Sungguh Ramadhan ini adalah anugerah dari Allah SWT untuk kita dapat menambah dekat kepadanya, beroleh pahala sebanyak-banyaknya, mensucikan jiwa dari kotoran dan dosa-dosanya, menambahkan rasa penghambaan kepada-Nya dan masa yang sesuai untuk membina disiplin dan jati diri. Semoga Allah SWT memudahkan kita untuk meraih semua kebaikan tersebut. Amiin Yaa Robbal Alamiin.

 

Ahmad Muhammad Yusof

Baitul Quran

WAMY Malaysia

 

#laállakumtattaqun

Leave a comment