Bersedia Menyambut Ramadhan

 persediaan RAMADHAN

 

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

(البقرة: 183)

Ertinya:

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa (Surah Al Baqarah: 183)

 

Tak terasa, sebentar lagi kita akan menghadapi bulan suci Ramadhan. Bulan yang penuh berkat dan pahala. Inilah peluang keemasan bagi kita untuk lebih dekat kepada Allah SWT, lebih banyak beramal soleh dan membuat Muhasabah (evaluasi diri) ke atas apa yang telah kita lakukan selama ini.

Mudah-mudahan menghadapi bulan Ramadhan tahun 1436 Hijrah ini kita sudah melakukan persediaan semenjak bulan Rejab dan Sya’ban, sebagaimana doa yang sentiasa kita ucapkan:

 

اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي رَجَبَ وَشَعْبَانَ وَبَلِّغْنَا رَمَضَانَ

 

Ya Allah, berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya’ban dan sampaikanlah (umur) kami ke bulan Ramadhan.

 

Apa persediaan kita menjelang Ramadhan?

 

Pertama, persediaan jiwa dan ruh kita. Dengan mulai membiasakan puasa di bulan Sya’ban, berlatih bersedekah, memperbanyakkan membaca Al Qur’an dan zikir serta rajin solat berjema’ah di masjid. Persediaan seperti ini akan memudahkan kita melakukan amalan tersebut di bulan Ramadhan dan dengan warming up seperti ini jiwa kita tidak akan terkejut.

 

Kedua, persediaan ilmu kita. Ada baiknya kalau kita mulai lagi mempelajari hukum-hakam puasa, kelebihan puasa dan segala perkara yang berhubung kait dengan Ramadhan. Sehingga puasa kita menjadi lebih berkualiti, bukan sekedar menahan rasa lapar dan haus sahaja.
Ketiga, persediaan fizikal kita. Kita jaga tubuh badan kita dengan pemakanan dan minuman yang sihat, supaya kita terelakkan daripada jatuh sakit di bulan Ramadhan yang akan menghambat ibadah kita. Berhati-hati semasa memandu atau bermain sukan yang berat.

 

Keempat, persediaan harta kita. Iaitu kita menyimpan sebahagian harta kita untuk disedekahkan semasa bulan Ramadhan, sama ada untuk ihya ramadhan di masjid dan surau, atau untuk sumbangan kepada mereka yang memerlukan. Salah satunya saudara muslim Rohingya yang sekarang sedang menghadapi cubaan berat. Adalah elok juga bagi kita yang nak membayar zakat, kita tunaikan zakat tersebut di bulan Ramadhan sehingga pahalanya akan lebih banyak.

 

Dengan empat persediaan tersebut kita berharap mendapatkan kualiti Ramadhan yang lebih baik, serta mendapatkan keutamaan dari Allah SWT dengan diampunkan dosa dan kesalahan kita yang telah lalu, sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW:

 

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رضي الله عنه قَال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : ( مَن صامَ رمضانَ إيمانًا واحتِسابًا ، غُفر له ما تقدم من ذنبه ) متفق عليه

Daripada Abu Hurairah r.a, ia berkata: Telah bersabda Nabi SAW: “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan berharap pahala (dari Allah SWT), maka ia akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu” (Muttafaq ‘alaihi,Riwayat Bukhari dan Muslim)

 

Wallahu A’lam.

 

Ahmad Muhammad Yusof

Baitul Quran

WAMY Malaysia

 

#laállakumtattaqun

Leave a comment