Akademi Kepemimpinan WAMY Lahirkan Pemimpin dan Da’ie Generasi Baru

Rijal dari segi bahasa membawa maksud lelaki tetapi jika disingkap maknanya ia lebih memberat kepada sifat-sifat tertentu yang ada pada seseorang sehingga layak digelar seorang rijal tanpa mengira jantina. Antara sifat-sifat yang perlu ada pada seorang rijal adalah keberanian, ketulusan, konsisten, pengorbanan dan optimis. Pembinaan seorang rijal dari usia muda bukanlah sesuatu yang mudah tetapi tidak pula sesuatu yang terlalu sukar. Kepentingan untuk membina teras iman yang kukuh di dalam hati seorang rijal terutamanya anak muda adalah untuk memastikan potensi diri mereka dapat sama-sama dimanfaatkan di jalan dakwah. Memetik kata-kata Imam Ghazali, [alert type=alert-blue ]“ Sekiranya kamu ingin mengetahui masa depan sesebuah negara, maka lihatlah pada generasi mudanya ”[/alert]

Atas dasar kefahaman yang sama, pihak World Assembly of Muslim Youth (WAMY) Malaysia telah menganjurkan kem kepemimpinan Mus’ab dan Sumayyah pada 10 -12 April 2015 bertempat di Kem Alang Sedayu, Gombak. Pemilihan Mus’ab bin Umair dan Sumayyah binti Khayyath sebagai figura contoh kepada anak muda yang menyertai kem ini adalah kerana besarnya ibrah dan hikmah kisah kedua sahabat dan sahabiah ini. Kem ini merupakan kem khusus bagi mereka yang terpilih sahaja, terutamanya bagi ahli sekretariat WAMY di lokaliti seluruh Malaysia.

Seramai 60 orang peserta lelaki dan perempuan yang terpilih untuk menyertai kem ini dari universiti seluruh Malaysia seperti UKM, UNiSZA, KUIS, UPM, UNIMAP, UIAM, UMS dan UNIMAS. Kem ini bertujuan untuk memupuk semangat kepimpinan dan meniupkan roh Islami ke dalam jiwa para peserta dalam usaha melahirkan lebih ramai generasi Rabbani. Pemilihan saudara Jufitri Joha, Tokoh Belia ASEAN 2014 sebagai pembentang bagi slot ‘Bagaimana Islam Melihat Pemuda’ dan ‘Al-Qowiyul Amin : How to be a better leader?’ sangat bertepatan dengan objektif WAMY dalam memberi kefahaman kepada anak muda tentang tanggungjawab dan tugas mereka sebagai khalifah di muka bumi Allah SWT ini.

Kepesatan teknologi dan kemunculan pelbagai jenis aplikasi media sosial mendorong pihak WAMY untuk mengadakan satu slot khas tentang kaedah berdakwah di media sosial. Umum mengetahui bagaimana anak muda sekarang begitu obses dengan telefon pintar dan pelbagai jenis aplikasi, namun kita tidak seharusnya mengabaikan matlamat dan tujuan sebenar kita dihidupkan yakni sebagai ‘abid dan daie. Kerana itulah, satu slot ‘Media & Dakwah’ oleh Saudara Shukery Azizan, salah seorang pentadbir laman Facebook Tarbiah Sentap hadir ke program ini untuk memberi kefahaman dan kaedah dakwah mengikut waqi’ dan kehendak anak muda masa kini.

Selain daripada slot pengisian, kem ini juga menitikberatkan nilai kerjasama dan semangat berpasukan dalam kalangan para peserta. Disebabkan para peserta yang terlibat hadir dari pelbagai latarbelakang, aktiviti seperti ‘Ice Breaking’, ‘Team Building’, ‘Creative Daie Challenge’ dan ‘Jungle Trekking’ diselitkan dalam program 3 hari ini bagi memberi input yang seimbang kepada para peserta dan dalam pada masa yang sama, membantu mengeratkan ukhuwah dan silaturrahim dalam kalangan peserta.

Khusus untuk program ini, pihak WAMY mengasingkan peserta lelaki dan perempuan dalam setiap bentuk aktiviti. Hal ini adalah untuk membantu para peserta menjaga adab pergaulan (ikhtilat) dan menerapkan rasa hormat serta menyantuni perbezaan personaliti lelaki dan wanita. Slot terakhir dalam program ini dibentangkan oleh Saudara Suhail Kamaruddin, Ahli Parlimen Belia Malaysia dan seorang aktivitis belia untuk topik ‘ حكمة الشيوخ في حماسة الشباب : Kebijaksanaan Orang Tua Dalam Semangat Orang Muda’.

Seorang rijal seharusnya bijak dalam membezakan apakah asas nilai dalam hidup mereka berdasarkan pegangan, kepercayaan dan fahaman mereka tentang Allah SWT dan Islam. Penentuan asas nilai yang berpaksikan teras keimanan yang kukuh akan membantu para rijal untuk lebih thabat dan konsisten dalam gerak kerja dakwah serta lebih memahami tugas dan tanggungjawab mereka yang sebenar.

Pentingnya para rijal daripada golongan muda adalah kerana semangat, kebijaksanaan dan tenaga yang ada pada mereka. Sekiranya kelebihan ini bersinergi dengan hikmah daripada mereka yang berpengalaman, nescaya anak muda akan lebih tenang, bijak dan tidak tergesa-gesa dalam menentukan sesuatu keputusan. Malahan, jika generasi seperti ini menyumbang dalam dakwah dan tarbiyah, pastinya sesuatu masyarakat atau komuniti itu akan lebih kehadapan berbanding yang lain.

Dengan itu, pihak WAMY berharap agar Kem Kepimpinan Mus’ab dan Sumayyah ini akan dapat membantu melahirkan lebih ramai pemuda dan pemudi yang menyedari kepentingan dan sumbangan mereka kepada Ummah dan Islam secara keseluruhannya. Alangkah indahnya jika anak muda ini dapat melihat dengan lebih kehadapan matlamat hidup dan tanggungjawab mereka lalu membantu melahirkan lebih ramai Mus’ab bin Umair dan Sumayyah binti Khayyath di dunia moden ini.

Semoga Allah SWT merahmati, meredhai dan menerima usaha pihak WAMY dengan penganjuran program ini sebagai salah satu bentuk ‘ibadah kepada-Nya. InsyaAllah, ameen.

Leave a comment