Syabab Talk UIAM

Pada 12 Mac yang lalu pihak WAMY Malaysia dengan kerjasama Kelab WAMY UIAM telah mengadakan siri Wacana Syabab Talk 1. Program ini diadakan di Wamy Centre, Kompleks Azman Hashim, pada pukul 9.00 – 11.00 malam. Tema yang dipilih dalam program ini ialah mengenai “Belia dan Cabaran Semasa”. Penganjur bertuah kerana dapat membawa penceramah yang berwibawa untuk mengupas tema ini. En Suhail Mohamed Kamaruddin merupakan seorang aktivis belia yang berpengalaman luas dalam aktitivi belia dalam dan luar negara. Bekas penerima “Gold Award” – International Award For Young People (London) ini juga sedang memimpin serta menjadi penasihat kepada beberapa pertubuhan belia yang berpengaruh. Dalam penyampaiannya, gabungan ilmu naqli dan aqli telah memberikan pencerahan terhadap cabaran yang dihadapi oleh golongan beliau dan keperluan mereka untuk bertindak menghadapi cabaran berkenaan.

Para peserta yang terdiri daripada mahasiswa daripada pelbagai latar belakang bidang pengajian, ternyata memberikan respon positif terhadap isu yang disampaikan. Mereka aktif memberikan soalan kepada pembentang dengan mengaitkan persoalan seperti sikap dan peranan mahasiswa terhadap sebarang isu arus perdana. Justeru, jawapan yang diberikan oleh pembentang juga dapat dijadikan panduan, seperti dalam isu mengkritik dasar atau agenda sesuatu pihak tertentu tidaklah boleh dilakukan demikian semata-mata sebaliknya perlu diiringi dengan cadangan untuk ditambah baik. Semoga program ini dapat dijalankan lagi pada masa akan datang dengan tema-tema yang segar dan menarik kehadiran lebih ramai peserta.

Leave a comment