Tarikh: 25-27 April 2008 / 18-20 Rabiulawal 1429H
Tempat: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan
Kem Sri Raudah, Gombak
Anjuran: Pertubuhan Jamaah Islam Malaysia (JIM)
World Assembly Muslim Youth (WAMY) dan
Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (Karisma)
Hari Pertama (25 April 2008)
Pada tanggal 25 April 2008, program Eksplorasi Menara Ilmu 2008 (EMI ’08) memulakan rentak. Acara dimulakan dengan sesi pendaftaran yang bermula seawal jam 9.00 pagi, mengambil tempat di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, UIAM. Sekitar jam 10.30 pagi, para peserta dibawa ke dewan program, iaitu Auditorium A, Kulliyyah Kejuruteraan. Tiba di sana, kesemua peserta diberikan taklimat ringkas. Usai sesi taklimat, tibalah aktiviti yang pertama iaitu Ayuh Kenal Yuk! Berapa jenis permainan telah dikendalikan demi memecahkan rasa malu yang membentengi ukhuwwah sesama peserta. Pada sesi ini juga, peserta telah dibahagikan kepada 10 Power Group lalu ditugaskan untuk melakar Panji Gemilang masing-masing. Para peserta seterusnya bersurai untuk menunaikan ibadah solat Juma’at.
Program disambung semula sekitar jam 3.00 petang, dimulakan dengan sesi Latihan Dinamika Kumpulan yang dikendalikan oleh mentor dari pelbagai IPT. Ketika sesi ini, para peserta dikehendaki untuk memperkenalkan diri dengan lebih mendalam. Para mentor juga tidak ketinggalan untuk berkongsi pelbagai tips yang berguna tentang perihal kehidupan di IPT. Program diteruskan sehingga azan Asar berkumandang.
Selesai melaksanakan solat Asar secara berjemaah, program diteruskan dengan presentasi Eksplorasi Menara Ilmu yang dibentangkan oleh Sdr. Mohd Dhany Mohamad Sarip. Melalui sesi yang santai ini, para peserta telah didedahkan dengan diari hidup mahasiswa Muslim yang soleh di IPT. Pada hemat peserta, biarpun sesi ini agak santai, namun cukup informatif.
Aktiviti seterusnya ialah Halaqah Ilmiah yang berjudul Meniti Hikayat Sirah Pemuda, disampaikan oleh Sdr. Auzan Hasanuddin Sazali. Para peserta nampaknya begitu teruja dengan penyampaian penceramah yang berkisar Musa’b bin Umair.
Acara kemuncak berlangsung pada jam 10.00 malam, iaitu Forum Langkah Menuju Jaya. Seramai tiga orang mahasiswa cemerlang; Puan Maryam Jailani (UIAM), Khairul Fadhli Ismail (UiTM) dan NurNazihah Mohd Nassir (UKM) telah dijemput sebagai panelis. Mereka diminta untuk berkongsi pelbagai resipi kejayaan selama berada di IPT. Program ini telah mendapat sambutan yang hangat, dan beberapa persoalan yang menguji minda telah ditimbulkan. Para peserta juga telah diberikan sebuah buku kecil yang mengandungi Tips-tips Hidup di IPT sebagai cenderamata.
Hari Kedua (26 April 2008)
Para peserta dikejutkan sekitar jam 4.30 pagi bagi menunaikan qiyamullail secara berjemaah. Imam muda yang dijemput ialah Ustaz Marwan bin Abdullah dan Ustaz Najib Mohd Hashim. Selesai solat Subuh berjemaah, para peserta dikehendaki bersiap sedia untuk dipindahkan ke Kem Sri Raudah, Gombak bagi menjayakan aktiviti yang seterusnya; Tafakur Alam Rimba.
Sekitar jam 8.30 pagi, para peserta sudah tidak sabar-sabar lagi untuk menyertai trekking bagi menuju ke destinasi, iaitu Sungai Pisang. Sebelum berlepas, setiap Power Group telah diberikan bendera Palestin untuk dikibarkan. Rasional syarat ini ialah untuk menimbulkan kesedaran di kalangan masyarakat bahawa kekejaman yang menimpa bumi Al-Quds tidak wajar dideritai oleh rakyat Palestin sahaja, sebaliknya oleh semua umat Islam. Isu Palestin adalah isu ummah yang perlu dipeduli oleh segenap lapisan masyarakat.
Sepanjang aktiviti ini, ada beberapa Checkpoint yang perlu dilalui oleh peserta, antaranya Mencari Sesuap Rezeki (wakil Power Group dikehendaki mencari plastik berisi makanan yang disorokkan), Di Sisi Ilahi (setiap peserta dikehendaki menunaikan solat Dhuha di dalam hutan) dan pelbagai lagi. Para peserta begitu seronok dapat menikmati keindahan alam ciptaan Tuhan di samping memuji-muji kebesaran Yang Maha Pencipta. Slot ini berakhir sekitar jam 11.00 pagi, diakhiri dengan acara terjun sungai.
Peserta kemudiannya diberikan rehat yang mencukupi. Sehabis melaksanakan solat Zohor, para peserta dihidangkan dengan satu lagi forum yang cukup menarik, bertajuk Persimpangan Cinta dan Cita. Dua orang panelis telah dijemput, tidak lain tidak bukan Puan Hajjah Rosmawati Zainal dan Puan Hamisah Manan. Kedua-dua wanita ini diminta untuk menyampaikan pelbagai maklumat berkaitan isu cinta selain turut menyentuh isu kebejatan moral yang kian teruk melanda muda-mudi hari ini. Sesi ini turut mendapat respon yang positif dari para peserta.
Sebagai penerusan aktiviti ini, para peserta telah dipecahkan kepada beberapa kumpulan untuk sesi diskusi dan pembentangan menerusi Latihan Dinamika Kumpulan.
Sesudah memerah minda, kini tiba masanya bagi para peserta untuk mencurah keringat. Aktiviti yang dinanti-nantikan iaitu Cergas Cetus Cerdas bakal berlangsung. Aktiviti pada petang ini memfokuskan pada kewajipan membina ukhuwwah dan mengukuh silaturrahim sesama Muslim, apalagi sebagai persiapan dalam melangkah ke period pra-Universiti yang begitu mencabar. Menerusi slot ini, terdapat 10 R&R yang menyediakan aktiviti-aktiviti yang mencabar fizikal, minda dan emosi. Antaranya; Cari Sampai Dapat (teka nama ulama’), Fear Factor: Yummy (memakan makanan yang ’pelik’), Menggapai Tinggi Di Angkasa (panjat pokok) dan beberapa aktiviti yang lain. Di setiap R&R, Power Group akan diberikan ’cebisan amanah’ yang perlu disambungkan di akhir aktiviti. Program selesai sebelum Maghrib, dan hasil gabungan ’cebisan amanah’ itu ialah lirik lagi Cebisan Kenangan. Para peserta kemudian mengalunkan lagu tersebut dengan penuh bersemangat.
Sementara menanti waktu Isyak, para peserta telah dihidangkan dengan kuliah ringkas yang cukup bertenaga, disampaikan oleh Sdr. Mohd Qayyim Hafidzi. Selesai solat, para peserta diberi peluang untuk berdiskusi dalam Power Group masing-masing, sebagai persediaan untuk aktiviti Malam Nurani Intepretasi Seni (MANIS).
Sekitar jam 11.00 malam, MANIS pun bermula. Setiap Power Group memberikan persembahan yang sangat memuaskan. Cukup menghiburkan, namun yang paling penting; benar-benar menggamit ukhuwwah. Para peserta mula beradu sekitar jam 12.30 malam.
Hari Ketiga (27 April 2008)
Usai solat Subuh berjemaah, Sdri. Nurul Asmaa’ Ismail telah memberikan kuliah yang berjudul Sahsiah Mahasiswa Mu’min. Penyampaian yang cukup menarik, ditambah lagi dengan presentasi Power Point membuatkan peserta tidak kalah dek keletihan yang menguasai diri.
Tamat Halaqah Ilmiah, para peserta dihiburkan dengan aktiviti Riadah Riang Ria. Sebanyak tiga permainan telah disediakan iaitu Simen Yang Putih, Lumba Dadu serta Tubuhku Tubuhmu Jua. Aktiviti ini juga menyeronokkan memandangkan inilah aktiviti lasak yang terakhir sebelum peserta pulang meninggalkan EMI ’08 dengan seribu satu kenangan.
Prof. Madya Dr. Hafidzi Mohd Noor seterusnya dijemput untuk melangsaikan sesi Ceritera Sukses dengan ceramahnya yang bertajuk Misi Agung Mahasiswa Muslim, bercerita tentang halatuju mahasiswa Muslim dalam mengecapi kebahagiaan di dunia dan akhirat. Penyampaian penceramah begitu bersemangat hingga membangkit ghairah para peserta untuk berusaha sedaya mungkin agar dapat mengenggam kejayaan di masa hadapan.
Sekitar jam 11.00 pagi, tibalah sesi Bengkel Jejak Karisma. Para peserta akan dipecahkan kepada beberapa kumpulan, mengikut kecenderungan masing-masing berkenaan laluan Pra-Universiti yang sedang diidam-idamkan. Ada yang berminat untuk ke Pusat Asasi UIAM, Pusat Matrikulasi KPM, Diploma, Luar Negara, IPTS dan pelbagai lagi. Di sesi ini, para mentor yang dijemput khas akan berkongsi pelbagai maklumat berkaitan institusi terbabit. Aktiviti ini mendapat respon yang cukup baik memandangakan kebanyakan peserta amat berminat dalam mengumpul maklumat berkenaan carahidup di IPT kelak.
Selesai bengkel, Ceritera Sukses disambung lagi dengan ceramah berjudul Bersiap Siaga Menangkis Cabaran, disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Harlina Halizah Haji Siraj. Terlalu banyak pengalaman yang dikongsikan oleh penceramah, menyebabkan para peserta begitu teruja mendengar. Penceramah benar-benar berjaya menyedarkan para peserta tentang peri penting untuk berdiri teguh, menangkis segala cabaran yang dewasa ini menimpa kebanyakan golongan belia.
Program disambung lagi dengan Majlis Penutup yang cukup ringkas. Hadiah dan sijil telah diberikan kepada semua peserta, di samping sebuah Terjemahan Al-Quran sumbangan Hidayah Centre dan Jawatankuasa Dakwah JIM Pusat. EMI ’08 melabuhkan tirainya dengan slot Motivasi Perpisahan; para peserta dan urusetia saling bersalaman dan berpelukan. Terasa manisnya ukhuwwah yang tidak bernoktah, lestari hingga ke Jannah, insyaAllah.
EMI ’08 bubar sekitar jam 2.00 petang.
Laporan disediakan oleh,
Mohd Dhany Mohamad Sarip
Pengarah Program,
Eksplorasi Menara Ilmu 2008 (EMI ’08)
