Buat teman sebaya,
Setelah berlalunya Ramadhan, dengan penuh rasa syukur kepada-Nya, diucapkan ungkapan tahniah dan doa semoga digolongkan di kalangan mereka yang “kembali kepada fitrah suci murni” dan mereka yang berjaya, semoga tahun ini penuh dengan keceriaan, merimbun untaian kebaktian dan kebaikan, birr wal ehsan, taqwa dan iman.
Semoga antum terus berada di kemuncak iman dan taqwa, ikhlas dan berhati mulia, baik tuturkata, berhemah dan berfikir panjang sebelum menggarap sikap dan membuat keputusan… ke mana akhirnya destinasi berhenti, nasib apa yang ingin dimiliki dan… raut wajah hitam atau putih yang bakal dicermini.
Buat para belia dan anak- anak,
Kami berbangga dengan kesungguhan antum memburu taqwa dan membungkus bekalan setahun. Golongan muda bergerombolan menjejaki jejak kasih Ilahi, mengimarahkan Baitur Rahman. Sejuk hati kami melihat para “Fityatun Aamanu Birabbihim” ramai bilangannya, tidak tercemar dengan pencemaran maksiat, kehilangan jatidiri, kelunturan nurani dan perasaan…. Mereka telah berpencak di medan amal dan bertarung merebut rakan sepembelajaran agar dibelai, dipimpin dan ditunjukkan jalan hidup sebenar yang penuh dengan keindahan dan kepuasan sejati. Mereka tidak sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi terus berdakwah, berdaurah, berqiam dan apa sahaja kaedah yang mungkin agar sebanyak mungkin sahabat berjaya disekalikan.

Kami
Kumpulan kerja (staff serta sukarelawan: warga Malaysia dan sahabat warga antarabangsa) di WAMY Malaysia ingin mengungkapkan lafaz kesyukuran dan ucapan jutaan terimakasih kepada semua yang telah membantu menjayakan banyak “perkara besar” buat WAMY Malaysia seperti program iftar ( warga Malaysia dan warga pelajar antarabangsa), i’tikaf 10 akhir Ramadhan di UIAM , agihan lebih 900 mushaf/ quran terjemahan berbagai bahasa kepada NGO Islam rakan seperjuangan, bantuan kewangan kepada pertubuhan dakwah yang bergiat di medan dakwah saudara baru, agar mereka semakin “ganas “ dan gigih menabur mutiara keindahan Islam, bantuan seadanya kepada saudara yang kekurangan, penganjuran cemerlang Hari Huffaz Peringkat Negeri Selangor yang disertai hamper 1500 pelajar tahfiz berserta pengusaha maahad tahfiz selurus Selangor dengan kerjasama erat dan dikagumi; Persatuan Institusi Tahfiz Negeri Selangor (PITAS) dan diserikan dengan ke hadiran YB Dr Halimah Mohd Ali dan Dato Setia Hj Mohd Adzib Hj Mohd Isa Pengerusi MAISdan yang sangat bermakna bagi kami adalah terjalinnya hubungan taaruf dengan berbagai pihak seperti JAKIM, YAB Menteri di Jab Perdana Menteri, Pengurusan Utama KLIA, kerajaan Negeri Selangor dan lain- lain
Maafkan segara keterlanjuran kami, semoga Allah menerima apa yang diusahakan selama ini dan teruslah menyumbang bersama kami.
Wassalam
Abu Ikrimah, Abd Haris Bin Bain
Pengarah Eksekutif WAMY Malaysia
