Sedekah di Bulan Ramadhan

Sedekah di Bulan Ramadhan

 

لَئِنْ شَكَرْتُمْ لأزِيدَنَّكُمْ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ

Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih”. (Ibrahim: 7)

 

 

Sedekah merupakan salah satu amal terbaik yang dilakukan oleh seorang mukmin. Ia dapat menghapuskan dosa dan kesalahan sebagaimana air dapat memadamkan api (Hadith Riwayat Imam Tirmidzi). Harta yang di sedekahkan juga sekali-kali tidak akan mengurangi harta kita. Sesungguhnya harta sedekah itu akan kekal di sisi Allah SWT dan akan menjadi pemberat mizan kita di akhirat nanti.

 

Allah SWT sudah berjanji bahawa “Jika kamu bersyukur, nescaya Kami akan menambahkan bagimu”. Dan banyak lagi keutamaan sedekah bagi seorang mukmin, sama ada yang di sebutkan dalam Al Qur’an mahupun hadith.

 

Sempena Ramadhan yang akan datang ini, amalan sedekah sebaiknya kita jadikan amalan prioriti. Pertama, kerana Bulan Ramadhan adalah bulan digandakannya pahala. Sehingga hebatnya pahala sedekah di luar Ramadhan itu, ia akan menjadi lebih hebat lagi di bulan Ramadhan.

 

Kedua, kalau kita melihat contoh daripada Rasulullah SAW, maka akan nampak bahawa sedekah merupakan amalan utama Baginda SAW selain membaca Al Qur’an. Sebagaimana hadith yang diriwayatakan oleh Ibnu Abbas r.a,:

 

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا ، قَالَ : كَانَ رَسُولُ اللهِ r أجْوَدَ النَّاسِ ، وَكَانَ أجْوَدَ مَا يَكُونُ في رَمَضَانَ حِيْنَ يَلْقَاهُ جِبْريلُ ، وَكَانَ جِبْريلُ يَلْقَاهُ في كُلِّ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ فَيُدَارِسُهُ القُرْآنَ ، فَلَرَسُولُ الله r، حِيْنَ يَلْقَاهُ جِبرِيلُ أجْوَدُ بالخَيْرِ مِن الرِّيحِ المُرْسَلَةِ . (متفقٌ عَلَيْهِ).

Dari Ibnu Abbas r.a, ia berkata: “Adalah Rasulullah r orang yang sangat dermawan. Dan beliau menjadi lebih dermawan lagi di bulan Ramadhan ketika ia berjumpa dengan Jibril u. Malaikat Jibril u selalu mendatangai Rasulullah r di setiap malam bulan Ramadhan untuk mengajarkan dan mengulang kaji Al Qur’an. Dan Rasulullah r ketika didatangi Jibril lebih banyak perbuatann baiknya dari pada angin yang bertiup”. (Riwayat Muttafaq ‘Alaih).

 

Ketiga, Ramadhan adalah bulan yang suci dan berungsi untuk menyucikan jiwa kita. Maka marilah kita sucikan harta kita dengan sedekah, selain dapat menyucikan jiwa kita daripada penyakit bakhil, ia juga dapat menyucikan harta dari unsur-unsur yang shubhat (tidak jelas hukumnya).

 

Semua jenis sedekah adalah baik dilakukan di Bulan Ramadhan. Membayar zakat harta, memberikan makanan untuk buka puasa (ifthar), membantu jiran yang kesusahan, berwakaf untuk masjid, menyantuni anak yatim, membantu mereka yang kehabisan bekal, memberikan tajaan untuk para pelajar dan sebagainya. Oleh itu, sudah sepatutnya salah satu persediaan kita menjelang Ramadhan adalah persediaan harta (Isti’dad Maali) kita, sehingga kita dapat meraih pahala sedekah dengan maksimal pada bulan Ramadhan ini. Walahu A’lam

 

Ahmad Muhammad Yusuf

Baitul Quran

WAMY Malaysia

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *